Tuesday, June 16, 2015

Ahlan Wasahlan Ya Ramadhan..

Apa yang kita perlu lakukan di bulan Ramadhan.

RasulAllah SAW apabila tiba bulan Rejab maka Baginda akan berdoa yang bermaksud "Ya Allah berkatilah kami di bulan Rejab, di bulan Sya'ban dan sampaikanlah kami ke bulan Ramadhan".

Kini Ramadhan sudah tiba kembali. Berbunga-bungalah hati para wali Allah, bergembiralah seluruh para solehin, bergembiralah juga seluruh orang-orang yang beriman dan bertakwa kerana bulan ini bakal menjadi bulan tarbiyah diri dan bulan muhasabah diri serta bulan pengampunan dari Allah SWT.

Segala kesalahan yang kita lakukan selama ini dengan sedar atau tidak, maka kini tibalah masanya untuk menadah kedua tangan yang penuh dosa memohon ampun dan bertaubat, seraya berserah diri kepada Allah swt dengan seikhlas hati.




Ya Allah Aku Rindu ....

Alhamdulillah Ramadhan yang dinanti-nanti akan  tiba sehari sahaja lagi. Rinduku terhadap suasana ramadhan kembali mengisi sanubari ini.

Betapa indahnya bangun sahur di awal pagi, membaca Quran, solat Subuh berjemaah, rehat pada siang hari tanpa perlu makan tenghari memberikan lebih banyak waktu untuk membaca Al-Quran.

Berbuka puasa dengan menu yang ala-kadar tetapi insyaAllah diberkati Alah swt. Terus dengan solat sunat terawih yang tidak ada pada bulan-bulan lainnya. Sepanjang masa penuh dengan rasa pengabdian kepada Allah swt.

Tahukah anda bau mulut orang yang berpuasa berbeza daripada bau mulut orang yang tidak berpuasa kerana pembakaran lemak badan?

Apabila anda berpuasa sekurang-kurangnya tiga hari berturut-turut, badan anda akan mula membakar lemak sebagai sumber tenaga kerana badan kehabisan simpanan glikogen dan kurang pengambilan karbohidrat daripada makanan untuk menggantikan simpanan glikogen tersebut. Proses pembakaran lemak ini akan menyebabkan terhasilnya jasad keton (ketone bodies) yang berfungsi sebagai sumber alternatif tenaga badan menggantikan glukosa. Pada kepekatan tertentu jasad keton dalam darah, badan akan mula membuang lebihan jasad keton tersebut melalui paru-paru, melalui kencing dan melalui perkumuhan lain. (penerangan lebih terperinci dalam buku yang akan saya terbitkan tidak lama lagi InsyaAllah).

Ini menyebabkan nafas anda berbau keton, bau manis seperti buah-buahan tetapi sedikit tidak selesa dan kadang-kadang boleh berbau dengan agak kuat.  Perbezaan bau mulut biasa dengan bau mulut disebabkan oleh jasad ketone adalah,bau tersebut tidak akan hilang walaupun anda memberus gigi. Ini adalah kerana bau tersebut datangnya daripada paru-paru anda, bukan dari mulut anda.

Apa yang perlu kita lakukan di bulan Ramadhan? Sedikit nasihat di bulan puasa.

Apabila anda berpuasa, badan akan mengalami kekurangan air berbanding waktu tidak berpuasa. Ini adalah kerana kita tidak boleh minum air sewaktu bepuasa dan makanan yang kita makan sebelum ini juga mengandungi air juga. Dalam keadaan badan kekurangan air adalah seeloknya anda tidak menambahkan bebanan badan anda dengan memulakan berbuka puasa dengan minuman yang manis yang bercampur gula. Ini adalah kerana minuman manis bergula akan memekatkan lagi darah anda dan menyebabkan anda menjadi semakin haus dan memberikan bebenan yang tidak sepatutnya kepada pankreas anda kerana peningkatan mendadak aras gula darah.

Ikutlah sunnah RasulAllah dengan hanya meminum air kosong dan berbuka dengan kurma. Kurma mengandungi serat, antioksida dan pelbagai mineral lain yang boleh mencegah daripada rangsangan berlebihan insulin badan.

Sewaktu badan kekeringan, mulut juga senang mendapat serangan bakteria dan ulser mulut. Pastikan anda sentiasa menjaga kebersihan mulut anda . Yang lebih utama jagalah mulut anda daripada berkata perkara-perkara yang sia-sia kerana di bulan Ramadhan pahala akan dilipat-kali gandakan , begitu juga dengan dosa, akan menjadi berkali ganda besar berbanding bulan biasa.

Wallahu a'lam.

Tabarakallah
Dr.Izzi.

No comments:

Post a Comment