Salam sahabat-sahabat yang dihormati,
Apa khabar sahabat-sahabat semua,
Di sini saya terangkan serba-sedikit tentang fasa-fasa di dalam diet Atkins.
Diet Atkins terdiri daripada 4 fasa yang tidak sama di antara satu sama lain dan juga mempunyai objektif yang berbeza.
Fasa 1 sehingga fasa 4 diet Atkins bolehlah diibaratkan sebagai fasa-fasa pendidikan atau pembelajaran anda.
Fasa 1 adalah seumpama anda memasuki alam sekolah rendah.
Fasa 2 adalah sekolah menengah.
Fasa 3 pengajian tinggi di universiti atau kolej.
Fasa 4 adalah seperti alam kerjaya anda.
Fasa 1 :
Fasa 1 adalah fasa di mana anda baru mula untuk belajar daripada perkara yang paling asas sehingga anda mengenali dan mengetahui secara lebih jelas tentang diet Atkins. Seumpama anda di sekolah rendah, anda mula belajar huruf A, B, C, D sehingga Z. Kemudian belajar mengeja, membaca dan mula menghafal. Segala-galanya bermula dari perkara paling asas. Contoh yang paling jelas adalah seumpama anda membina sebuah rumah. Apa yang perlu untuk bangunan seperti rumah itu kukuh, kuat, stabil dan tahan lama bukanlah atap, siling, tingkap ataupun hiasan di dalam rumah itu. Yang paling penting adalah tapak rumah tersebut yang kukuh dan stabil, barulah binaan anda yang seterunya kekal dan tidak mudah goyah.
Apa yang akan berlaku sekiranya anda tidak mengambil peduli tentang kekuatan asas tapak binaan anda itu? Perkara yang paling tidak anda ingini mungkin boleh terjadi seperti runtuhnya rumah tersebut. Begitu juga dengan asas corak pemakanan ataupun diet anda. Tanpa kefahaman dan ilmu yang jelas serta kukuh maka anda dengan mudah boleh menyimpang daripada kaedah sebenar diet ini. Akibatnya berkemungkinan besar tidak mencapai target ataupun matlamat yang anda tentukan di dalam usaha anda untuk menurunkan lebihan berat badan anda.
Fasa 2 :
Di fasa 2 anda seolah-olah berada di peringkat sekolah menengah di mana ilmu yang anda pelajari pada peringkat sebelum ini digunakan untuk memperkuatkan lagi kefahaman anda dengan pelbagai bentuk ujian dan peperiksaan.
Seperti mana saya dahulu mengambil PMR, SPM ataupun sekarang anda mengambil PT3 dan SPM, maka di situlah anda berada di fasa 2 untuk menentukan tahap toleransi badan anda terhadap karbohidrat sebelum anda berusaha untuk meningkatkan tahap toleransi karbohidrat anda di fasa 3 seterusnya.
Di fasa 2 anda melakukan ujian dan ujikaji terhadap badan anda untuk mengenalpasti di manakah bacaan "Aras Kritikal Penurunan Berat" badan anda semasa anda menambahkan jumlah pengambilan karbohidrat harian anda mengikut tangga-tangga makanan yang disyorkan dengan peningkatan berperingkat setiap minggu.
Fasa 3:
Fasa 3 pula adalah fasa lanjutan kepada fasa 2 di mana anda terus berekperimentasi dengan tahap toleransi karbohidrat badan anda. Tetapi pada kali ini anda melakukan ujian dan percubaan yang lebih kompleks serta memerlukan lebih pemerhatian dan tahap berhati-hati yang tinggi. Sama seperti anda berusaha untuk menamatkan pelajaran anda di kolej ataupun universiti di mana pada ketika itu sekirnya anda gagal ujian atau peperiksaan maka masa depan universiti atau kolej anda menjadi haru-biru. Apa yang anda perlukan adalah ketahanan mental dan fizikal serta waspada dan keyakinan yang tinggi. Anda juga perlukan semangat juang yang sentiasa membara dan bantuan rakan-rakan di sekeliling anda. Sekiranya anda berjaya pada fasa ini maka fasa selanjutnya adalah begitu senang untuk anda.
Seperti juga sebagai contoh anda berjaya bergraduasi sebagai seorang doktor. Maka fasa seterusnya adalah untuk anda mengaplikasikan ilmu yang anda pelajari tersebut di alam nyata dan dalam masa yang sama masih meneruskan proses pembelajaran dan pengajaran supaya tahap kefahaman, skil, serta kondisi kerja anda sentiasa berada di tahap optimum.
Fasa 4:
Fasa 4 adalah seperti alam kerjaya anda. Di mana anda yang mencorakkan alam kerjaya anda untuk membentuk suasana yang anda inginkan. Begitu juga dengan diet ini. Di mana apabila anda sudah berada di fasa 4 maka anda sudah mempunyai segala kefahaman dan kepakaran untuk memilih jenis-jenis makanan yang sesuai dan yang tidak sesuai untuk badan anda. anda juga boleh mencorak gaya pemakanana anda yang unik bagi diri anda tanpa terlalu rigid mengikut menu yang disyrorkan seperti semasa di fasa 1-3.
Boleh dikatakan anda bebas memilih jenis-jenis makanan anda tetapi dalam lingkungan yang tidak melapaui batas yang boleh merosakkan diet anda dan yang paling penting supaya anda tidak kembali kepada tabiat pemakanan anda semasa anda masih gemuk dahulu.
Penerangan lanjut dalam "entry" seterusnya InsyaAllah..
Tabarakallah.
Dr.Izzi
No comments:
Post a Comment